Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
 
 
 
 
Kemaskini Pada: 20 Okt 2017
Versi 8.0.2c
 
Sejarah MDMJSejarah MDMJ

[Mengenai Kami < Sejarah MDMJ]

Sejarah Majlis Daerah Maradong dan Julau

Majlis Daerah Binatang telah ditubuhkan pada 01 Januari 1956 di bawah perbekalan-perbekalan dalam Perintah Pihak Berkuasa Tempatan (Majlis Daerah Binatang), 1955 seiring dengan terlantiknya 15 orang Ketua Masyarakat (Kaum) secara tradisional  oleh Gabenor Kerajaan Koloni pada masa itu. Mereka telah membentuk keanggotaan/ keahlian Majlis di bawah pengerusi yang dilantik berdasarkan jawatan Pegawai Daerah.

Kumpulan pertama 15 orang kaunselor Majlis telah dipilih secara undi sulit yang pada dasarnya bersifat percubaan atas pengundian oleh pembayar-pembayar cukai rumah yang dewasa di kawasan tempatan. Pemilihan ini adalah bagi mengganti ahli-ahli Majlis yang telah dilantik dan Pengerusi yang telah berkhidmat sebelum itu berkuatkuasa pada 01.01.1960. Kemudiannya, 14 orang yang bertanding menggunakan parti-parti politik dan seorang bebas telah dipilih dalam Pilihanraya Umum, yang mana pemilihan ini telah mendahului kemerdekaan Sarawak melalui penyertaannya dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Pemilihan ini telah dilaksanakan secara undi sulit dan pengundian telah dilakukan oleh orang-orang dewasa secara umumnya. Ahli-ahli baru yang dipilih melalui pemilihan ini telah mengambil-alih tempat Ahli-ahli Majlis terdahulu berkuatkuasa pada 01.07.1963.

Pada mulanya, Majlis Daerah Binatang telah menyewa tingkat bawah sebuah rumah kedai persendirian sebagai Pejabat Am bagi pengurusannya, dan secara terus menerusnya telah menggunakan bilik mesyuarat Dewan Perdagangan Cina Binatang (Binatang Chinese Chamber of Commerce) untuk tempat mengadakan Mesyuarat Agung dan Komiti Tetap Majlis. Namun dengan terbinanya bangunan Pejabat Majlis pada awal tahun 1960, segala pengurusan dan aktiviti dijalankan sepenuhnya disini.

Hasil pendapatan Majlis pada ketika itu hanya bergantung kepada pungutan cukai ke atas harta (cukai yang dikenakan ke atas nilai bagi semua harta benda yang terletak di dalam Pekan Binatang kecuali Kampung Melayu), cukai mengikut adat kebiasaan (iaitu cukai kepala dikenakan $1.00 ke atas setiap orang lelaki Melayu atau Melanau yang dewasa; dan cukai pintu sebanyak $1.00 dikenakan ke atas setiap bilik bagi rumah panjang Iban) dan cukai SES penyamaan (iaitu cukai sebanyak $1.00 dikenakan ke atas setiap lelaki dewasa yang bukan bumiputra). Majlis banyak bergantung dan mengharapkan geran daripada kerajaan.

Walau bagaimanapun, cukai mengikut adat kebiasaan dan cukai SES penyamaan (equalisation less) telah dihentikan apabila cukai dikenakan ke atas apa sahaja premis di dalam kawasan pada 01.01.1957.

Kerajaan Negeri Sarawak juga telah memulangkan kepada Majlis hasil kerajaan termasuk cukai yang dipungut oleh Majlis bagi pihak kerajaan dari lesen-lesen peniaga getah dan juga Senjata Api serta peluru.

Sebenarnya, cukai mengikut adat kebiasaan yang dipungut oleh Majlis adalah juga merupakan hasil serupa yang dipulangkan kepada Majlis. Sejak awal lagi, Majlis telah mengambil alih fungsi-fungsi lepas Lembaga Perbandaran Binatang (Binatang Municipal Board) bagi semua perkhidmatan rutin harian seperti penjagaan am, pungutan sampah-sarap, lampu jalan, penyelenggaraan jalan raya, memadam kebakaran, mengawal perdagangan yang berbahaya, tempat hiburan, kedai makan, kedai kopi, pembuatan air minuman berkarbonat, penyimpanan petrol, penjaja, kenderaan bukan bermotor, anjing, bangunan premis dan peruntukan bagi market, tandas awam dan rumah penyembelihan binatang. Majlis juga telah mengambil alih daripada Pegawai Daerah beberapa fungsi perkhidmatan seperti perlesenan untuk kedai kampung, kedai terpencil, pemeriksaan timbang dan sukat. Majlis juga telah mengambil alih pengurusan pendidikan sekolah rendah Iban daripada Kuasa Tempatan Dayak Rejang Bawah (Lower Rejang Dayak Local Authority).

Serentak dengan itu, Majlis mula menyediakan perkhidmatan kesihatan Ibu dan Kanak-kanak. Majlis juga mengambil alih tanggungjawab pengurusan sekolah-sekolah rendah dan membantu Sekolah-sekolah Rendah Bantuan Kerajaan. Kemudian, tanggungjawab pengurusan sekolah-sekolah rendah dan membantu Sekolah-sekolah Rendah Bantuan Kerajaan telah diserahkan kepada Jabatan Pendidikan pada 01.01.1973. Bagaimanapun tanggungjawab perkhidmatan kesihatan Ibu dan Kanak-kanak telah diserahkan pula kepada Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Perubatan pada 01.01.1979. Unit Pemadam Kebakaran Majlis pula telah diserahkan kepada Jabatan perkidmatan Bomba Malaysia pada 15.05.1981.

Lembaga Perbandaran Binatang (Binatang Municipal Board) dan Kuasa Tempatan Dayak Rejang Bawah (Lower Rejang Dayak Local Authority) adalah dua(2) agensi Kuasa Tempatan awal bagi Majlis Daerah Binatang pada masa itu. Lembaga Perbandaran Binatang telah ditubuhkan dalam tahun 1934 di bawah Ordinan Perbandaran bagi Pekan Binatang[sekarang Bintangor] dengan wakil-wakilnya yang dicalonkan dengan cara tidak rasmi dan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Fungsi Lembaga tersebut telah dihentikan semasa pemerintahan serta pencerobohan Tentera Jepun di Negeri Sarawak dan kemudian dipulihkan semula seperti sedia kala selepas peperangan berakhir pada ketika itu. Manakala Kuasa Tempatan Dayak Rejang Bawah telah ditubuhkan dalam tahun 1950 di bawah perintah (Perlembagaan) Pihak Berkuasa Tempatan bagi Daerah Binatang[sekarang Daerah Meradong] dan Daerah Sarikei.